PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden, Timor Leste hari ini yang diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Selepas kunjungan hormat ke atas Presiden Timor Leste, Dr Jose Ramos-Horta, Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala yang membincangkan pelbagai bidang kerjasama berpotensi.
“Ia termasuk pertahanan, kesihatan, komunikasi, pendidikan, budaya, pengecualian visa, pelaburan dan perdagangan.
“Pertemuan tersebut turut menyaksikan pertukaran pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, dalam suasana mesra dan konstruktif,” katanya pada hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, hasil perbincangan tersebut dikongsikan bersama media tempatan dan Malaysia, dengan harapan sinergi baharu dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan Malaysia–Timor Leste, malah membuka lembaran baharu kerjasama strategik yang dapat menyumbang kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau,” katanya.
Terdahulu, Anwar tiba di Dili, Timor Leste hari ini bagi memulakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari ke bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang bakal dimuktamadkan.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia). – KOSMO! ONLINE