PARIS – Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal mengekalkan gelaran pemain muda terbaik bawah-21 tahun dengan merangkul Trofi Kopa untuk kali kedua berturut-turut pada Majlis Anugerah Ballon d’Or awal pagi semalam.
Selepas berjaya memenanginya musim lalu, Yamal sekali lagi dipilih oleh bekas pemenang Anugerah Ballon d’Or pada edisi sebelum-sebelum ini yang membuat undian untuk dinobatkan sebagai pemenang.
Anugerah berkenaan dinilai berdasarkan prestasi individu, impak yang diberikan kepada pasukan serta potensi masa depan yang dipamerkan oleh calon-calon bertanding menyebabkan Yamal dianggap paling layak.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Perancis dengan anugerah ini. Ia adalah satu penghormatan untuk kembali berada di sini sekali lagi.
“Saya juga mahu memberikan penghargaan kepada kelab saya, Barcelona dan juga pasukan kebangsaan Sepanyol kerana tanpa mereka saya tidak akan berada di pentas ini,” katanya.
Musim lalu menyaksikan Yamal berjaya menguasai anugerah berkenaan buat kali pertama dengan mengumpul 113 mata menewaskan dua lagi pencabar, Arda Guler (Real Madrid) serta pemain Manchester United, Kobbie Mainoo.
Kali ini Yamal sekali lagi menguasai trofi berkenaan apabila berjaya mengetepikan dua pencabar dari Paris Saint-Germain, Desire Doue dan Joao Neves yang turut cemerlang sepanjang tahun ini. – AGENSI