KEMAMAN – Kawasan lokasi paip bocor di Kampung Chabang, Kerteh di sini sejak Sabtu lalu disahkan bebas sepenuhnya daripada sisa gas butana.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kesemua lapan alat pengesan gas yang dipasang menunjukkan bacaan sifar kehadiran gas butana pada pukul 12 tengah hari.
“Kesemua alat pengesan gas termasuk yang diletakkan di muka terowong mencatatkan bacaan sifar. Sehubungan itu, lokasi kejadian kini disahkan selamat dan terkawal,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, seramai 21 penghuni Pusat Tahfiz Al-Muqarabbin di sini yang dipindahkan pada Ahad lalu juga telah dibenarkan pulang.
Begitupun, beliau memberitahu setakat ini, lokasi kejadian masih kekal ditutup untuk orang ramai.
Kosmo! Online Sabtu lalu melaporkan sebuah paip gas betana milik Petronas Gas Berhad pecah di tapak projek Seksyen 5, ECRL berhampiran Kampung Chabang. – KOSMO! ONLINE