PETALING JAYA – Pihak polis digesa segera bertindak mengesan sekumpulan pelajar di sebuah institusi pengajian yang melakukan gurauan melampau ke atas seorang pelajar lain.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, tindakan sedemikian tidak boleh sesekali dikompromikan atau didiamkan atas alasan gurauan.
“Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?
“Harap pihak polis dapat segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua,” katanya menerusi media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan beliau, jelas memaparkan dipercayai lima pelajar masing-masing memegang kaki dan tangan seorang pelajar lain dan dengan sengaja ‘menghayunkan’ bahagian kelangkangnya ke arah tiang sebuah papan tanda.
Sementara itu, lima pelajar lain yang berdekatan turut menjadi ‘penonton’ dan mereka hanya ketawa selepas perbuatan itu dilakukan.
Orang ramai meluahkan rasa kesal dan turut menggesa supaya tindakan tegas segera dilakukan.
“Dah 2025 pun masih ada lagi perangai sebegini. Kurang didikan cikgu di sekolah atau kurang didikan ibu bapa di rumah,” komen seorang pengguna.
“#PDRM sila lakukan siasatan dan tangkapan,” ujar @Mohamad Bedu Mad.
“Ni (boleh) mencederakan alat sulitnya. Satu jenayah,” kata @Mfs Nan.