MELAKA – Kerajaan masih berpegang pada standard antarabangsa berkaitan prinsip rogol statutori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, pandangan diberikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berhubung isu hubungan seksual bawah umur hanyalah pandangan peribadi yang tidak menjejaskan dasar kerajaan.
“Itu mungkin pandangan peribadi dia, hak dia nak bagi pandangan. Pada saya setakat ini, kita pegang pada standard antarabangsa iaitu rogol statutori. Saya rasa kita tak akan berganjak daripada perkara itu.
“Kita mempunyai sistem undang-undang yang memberi perlindungan, kita kena baca bersama Akta Kanak-Kanak dan tengok tentang hubungan antarabangsa dengan Jawatankuasa Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lah terutama sekali UNICEF,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi Townhall Tribunal Antibuli #generasitanpabuli peringkat Melaka dan Negeri Sembilan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebarang cadangan atau kritikan berkaitan undang-undang jenayah boleh dibawa kepada Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) yang dipengerusikan Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Sesiapa ada cadangan tentang isu undang-undang jenayah itu boleh maklumkan kepada CLRC. Kita memang mengkaji banyak undang-undang tapi bagi saya mungkin pejabat pesuruhjaya tak akan setuju.
“Sebab kita ada komitmen kepada 18 tahun ke bawah dan undang-undang di bawah umur 16 tahun. Jadi pada saya, cadangan mereka boleh buat tetapi setakat ini kerajaan tak akan memberi apa-apa respons sebab posisi kita memang berpegang kepada standard antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, semalam Kosmo! melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat memberitahu sebanyak 90 peratus kes rogol melibatkan remaja bawah umur di negeri itu berlaku atas dasar suka sama suka tanpa paksaan.
Katanya, meskipun kedua-dua pihak terbabit secara rela, hanya lelaki akan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang semasa dan perkara itu dilihat tidak adil.
Justeru itu beliau berkata, undang-undang sedia ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih faham kesan kesalahan sekali gus dapat membendung peningkatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE