SHAH ALAM – Status lafaz cerai pempengaruh, Aiman Tak Kesah atau nama sebenarnya, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, terhadap isterinya, Siti Jamumall terlerai apabila disahkan talak tiga oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Hakim Syarie, Fairus Jaafar membuat keputusan itu selepas mendapati lafaz talak terakhir oleh Khairul Aiman kepada Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 26, ketika siaran langsung di TikTok, pada 15 Mei lalu adalah sah dan jatuh sebagai talak bain kubra.
Katanya, Khairul Aiman selaku plaintif bercerai dengan Siti Suriani dengan talak satu kali pertama pada 17 Mac lalu. Plaintif sekali lagi membuat dua lafaz iaitu ketika siaran langsung di TikTok pukul 1.31 pagi, 15 Mei lalu.
Ini disusuli dengan lafaz ketiga kepada Siti Suriani selaku defendan tidak lama kemudian dengan menyentuh perkataan “aku orang kampung sanggup dipijak, tapi sekarang aku tak boleh diam”.
“Mahkamah menafsirkan lafaz talak pertama dan kedua yang dibuat Aiman hanya sebagai talak rajie, namun lafaz ketiga tetap sah kerana diucapkan selepas berlaku selang perbualan lain.
“Ini mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz tersebut didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga,” katanya hari ini.
Justeru kata Fairus, mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
“Defendan diarahkan menjalani tempoh idah sehingga bersalin dan dokumen pasangan ini di Perlis dibatalkan,” katanya.
Pada prosiding itu, peguam syarie, Mohd Nooraizan Md. Idros memaklumkan Aiman akur dengan keputusan tersebut, bagaimanapun anak guamnya masih memikirkan anak sulungnya yang baru dilahirkan baru-baru ini.
“Dia berharap dapat berbaik semula dengan bekas isterinya itu. Saya masih dalam perbincangan sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa 14 hari. Buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula,” katanya.
Sebelum ini, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti pada 15 Mei. Tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti Jamumall disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung dalam media sosial Siti Jamumall. – KOSMO! ONLINE