PETALING JAYA – Perjalanan dua wanita Malaysia yang melancong ke Korea Selatan bertukar pengalaman manis apabila secara tidak sengaja mereka terserempak dengan peserta rancangan realiti popular, Running Man.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, kedua-dua wanita itu dilihat teruja apabila berpeluang bertemu secara dekat dengan pelakon terkenal, Song Ji Hyo, serta beberapa ahli tetap rancangan tersebut.
Lebih mengujakan, mereka turut diajak untuk menyertai salah satu permainan ikonik Running Man.
Walaupun tidak diberi penjelasan penuh mengenai peraturan permainan itu, kedua-dua wanita berkenaan dilihat berjaya menyesuaikan diri dan membantu peserta menyelesaikan misi yang diberikan.
“Salah satu momen rawak semasa trip kami, tapi otak ‘loading’ betul sebab tengah proses betul ke Song Ji Hyo depan mata,” kata salah seorang wanita itu di laman Thread.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi perasaan teruja melihat pengalaman dua wanita tersebut.
“Dengan saya sekali meremang masa awak jawab tu. Saya pula rasa bangga awak jawab betul,” kata Saliza.
“Apa perasaan masa jumpa depan-depan? Mesti teruja kan, kalau aku mesti terus gagap,” kata Fifi.
“Bangganya sebagai peminat Running Man bertahun-tahun tengok, ini nampak rakyat Malaysia siap jawab betul lagi,” kata Fatin. – KOSMO! ONLINE
View on Threads