SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) negara berdepan tugas berat untuk menghadapi siri kedua Kejohanan Ragbi 7s Asia selepas dibelenggu krisis kecederaan menyaksikan tujuh pemain utama terpaksa direhatkan.
Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, walaupun berjaya menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan siri pertama di Hangzhou, China kelmarin, namun prestasi tersebut dibayar dengan harga yang mahal.
Menurutnya, beliau terpaksa merombak senarai pemain bagi menghadapi pusingan kedua di Colombo, Sri Lanka bulan depan dengan memberi peluang kepada pemain daripada senarai pendek sedia ada.
“Daripada segi prestasi keseluruhan pasukan amat membanggakan dan kita berjaya mendapat ranking keenam di Asia pada siri satu kali ini. Namun, bagi keadaan pemain, kita mengalami tujuh pemain yang mengalami kecederaan major.
“Disebabkan itu, kita terpaksa merehatkan mereka dahulu untuk seketika bagi meneruskan kempen kejohanan akan datang,” katanya.
Bunga Raya 7s mempamerkan aksi memberangsangkan di China apabila menewaskan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 21-15 dan Uzbekistan 21-12 di peringkat kumpulan, sebelum tewas kepada gergasi Asia, Hong Kong 0-59.
Dalam pusingan penentuan, Malaysia menundukkan Taiwan 14-10 sebelum tewas tipis 17-26 kepada UAE dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.
Mengenai perancangan siri kedua di Sri Lanka pada 18 dan 19 Oktober ini, Nik Safuan menjelaskan ia akan menjadi medan pendedahan penting sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti.
“Saya akan menggantikan beberapa pemain daripada senarai pendek. Tujuan untuk memberi pendedahan permainan dan dalam masa sama memantapkan pasukan menjelang Sukan SEA nanti,” jelasnya.
Sementara itu, skuad wanita negara menamatkan kempen di kedudukan kelapan keseluruhan selepas tewas 10-17 kepada UAE dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan. – KOSMO! ONLINE