SUNGAI PETANI – Kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan tenaga negara dan perkara itu hanya akan dipertimbangkan selepas 2030.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ketika ini kajian menyeluruh sedang dijalankan oleh agensi MyPower yang berada di bawah seliaan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
Katanya, enam pasukan petugas khas telah diwujudkan bagi menilai semua aspek berkaitan tenaga nuklear.
“Tiga pasukan petugas di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pembangunan teknologi dan aspek regulatori memandangkan Jabatan Tenaga Atom berada di bawah kementerian kita.
“Tiga lagi pasukan ditugaskan meneliti aspek tenaga di bawah tanggungjawab Petra tetapi kajian masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Utara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan berkaitan penggunaan tenaga nuklear di negara ini akan dibuat secara berhati-hati selepas mendapat hasil kajian menyeluruh.
“Seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Malaysia hanya akan membuat keputusan selepas 2030 kerana ia melibatkan faktor keselamatan, kos dan juga penerimaan masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE