fbpx
Mohd. Shafie

Kes Zara Qairina: AGC teliti kenyataan Mohd. Shafie sebelum tindakan lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan yang dibuat Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataannya hari ini, jabatan itu menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai.

“Jabatan ini memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung kes Zara Qairina semasa berucap di majlis “Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan” pada 20 September 2025.

“Kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, AGC mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu kelancaran prosiding mahkamah yang masih berlangsung.

Terdahulu, media melaporkan tindakan Mohd. Shafie membuat kenyataan bahawa Zara Qairina dibunuh adalah satu tuduhan yang melulu.

Kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik juga merupakan satu perkara yang tidak bertanggung jawab.

Menurut barisan penguam yang mewakili empat remaja yang didakwa mengeluarkan kata-kata mencela terhadap Zara Qairina, tindakan itu adalah satu tindakan mengeksploitasi satu tragedi untuk kepentingan politik.

Remaja yang dinamakan sebagai Pelajar B, Pelajar C, Pelajar D dan Pelajar E juga akan menjadi saksi dalam inkues itu.

“Kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal adalah tuduhan melulu, berbahaya dan menjijikkan. Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang adalah amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami.

“Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang pilihan raya negeri akan datang,” ujar peguam-peguam terbabit.

Peguam itu merujuk kepada satu video di Facebook menunjukkan Mohd. Shafie yang membuat kenyataan berunsur hasutan mengenai prosiding inkues yang sedang berlangsung berhubung kematian Zara Qairina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI