fbpx
Mohd. Najwan bergambar selepas sidang akhbar sempena SCEE25 dan pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 di Petaling Jaya semalam.

Selangor sasar industri kreatif sumbang RM20 bilion menjelang 2035

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan Selangor komited untuk memperkasakan industri kreatif di negeri itu menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

Eskpo yang berlangsung selama dua hari bermula esok merangkumi tiga sektor utama iaitu seni budaya, multimedia, dan seni warisan budaya.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, penganjuran itu sebagai langkah awal kerajaan negeri dalam mengembangkan industri kreatif supaya ia dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, ketika ini secara keseluruhan industri kreatif menyumbang lebih RM14 bilion, manakala negeri di Selangor ia telah menjana pendapatan hampir RM2 bilion.

“Kita mahu industri kreatif ini menjadi antara pemyumbang utama kepada KNDK negara pada masa akan datang. Di Selangor pula kita menyasarkan industri ini mampu menyumbang sehingga RM20 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang (2035).

“Jadi, ekspo ini diharap menjadi platform awal kepada pemain industri di negeri ini untuk mengembangkan kepakaran mereka serta berkongsi ilmu dengan pemain industri baharu. Sekali gus, lebih ramai anak tempatan menceburi bidang ini pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena SCEE25 dan pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 di sini semalam.

Mohd. Nawjan berkata, sempena penganjuran ekspo itu juga, Kerajaan Selangor turut menyediakan Dana Mikro Kreatif sebanyak RM80,000 kepada 10 pemain industri yang terpilih.

“Peruntukan ini hanyalah sebagai pernulaan dan kita akan tambah jumlahnya dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ekspo tersebut, beliau berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 400 peserta terlibat secara langsung sepanjang dua hari penganjuran program itu.

Menurutnya, eskpo terbabit menampilkan empat teras utama atau dikenali sebagai CRE8 yang dirangka khusus memperkasa sektor kreatif.

“Ia meliputi sesi townhall, forum dan dialog dasar mengenai pembiayaan, pelesenan harta intelek (IP), dan hab komuniti kreatif. Turut diadakan pelancaran Dana Mikro Kreatif Selangor sebanyak RM80,000 yang menyediakan dana dan peluang pembiayaan kepada usahawan kreatif.

“Selain itu, ekspo ini juga menyediakan sesi ‘pitching’, pameran disamping pertunjukan yang menghubungkan budaya dengan ekonomi serta platform padanan perniagaan secara langsung dengan pelabur, jenama dan agensi kerajaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI