Adyen adalah platform teknologi kewangan yang menyediakan keupayaan pembayaran end-to-end, cerapan dipacu data dan produk kewangan dalam satu penyelesaian yang bersepadu.
Ia berperanan besar ‘di balik tabir’ dalam industri itu yang semakin berkembang pesat di Malaysia selain telah bertapak kukuh di Singapura dan Hong Kong.
Melalui perkhidmatan yang ditawarkan juga, ia menggabungkan semua saluran jualan dalam satu sistem bersepadu untuk menyediakan pengalaman beli-belah yang lancar kepada pelanggan, sama ada di kedai, dalam talian atau menerusi peranti mudah alih.
Menurut Pengurus Negara Tempatan, Lee Soon Yean, salah satu kelebihan Adyen selain memiliki ciri keselamatan yang di tahap tertinggi, ia juga dapat memudahkan usaha untuk menyelaraskan kewangan pelanggan yang mana peruncit akan memiliki satu platform tunggal untuk memperkemas operasi dan memastikan semua penyelarasan diuruskan di satu tempat, termasuk penyelarasan masa sebenar serta berautomasi.
“Penyelarasan itu akan disatukan seterusnya dapat mengurangkan proses manual dan kesilapan manusia yang lazimnya bakal berlaku.
“Ia juga dapat memudahkan urusan syarikat ketika musim beli-belah di waktu puncak dengan menggunakan terminal pegangan tangan Adyen bagi memproses pembelian pelanggan tanpa memerlukan mereka beratur panjang,” katanya dalam temu bual melalui emel baru-baru ini.
KOSMO!: Selepas memperoleh lesen daripada Bank Negara Malaysia tahun 2020, apakah perkembangan terbaharu syarikat?
Lee Soon Yean: Melalui perkhidmatan yang ditawarkan, transaksi dalam kalangan para pelanggan kami lebih pantas dan menjimatkan kos.
Bagi peringkat global pula, kami telah berganding bahu dengan jenama-jenama terkenal daripada pelbagai sektor seperti peruncitan (contoh Uniqlo dan Zalora),pelancongan dan hospitaliti (contoh Klook, Agoda) dan banyak lagi.
Pelanggan kami di negara ini telah memberikan sambutan yang positif, mereka menghargai keupayaan untuk menguruskan dan mengaktifkan kaedah pembayaran tempatan yang relevan menerusi platform tunggal Adyen yang dilengkapi dengan pelaporan masa sebenar serta operasi lebih lancar.
Menurut Laporan Runcit Adyen 2025, para peruncit yang menggunakan pendekatan bersepadu ini melaporkan bahawa mereka mempunyai kefahaman lebih baik tentang tingkah laku pelanggan masing-masing, untuk menyasarkan dan memasarkan produk (54 peratus) dan meningkatkan jualan secara umumnya (53 peratus).
Apakah manfaat dan penjimatan yang diperoleh syarikat tempatan?
Adyen telah menyatukan semua saluran pembayaran di dalam kedai, peranti mudah alih dan rentas sempadan di dalam satu platform tunggal serta disokong oleh proses pemerolehan langsung. Ia juga dapat membantu syarikat-syarikat perniagaan menyelaraskan operasi, menjimatkan yuran vendor dan mengurangkan kos transaksi.
Melalui data global, menunjukkan pemerolehan tempatan boleh mengurangkan kos sebanyak 59 peratus secara purata.
Jika dibandingkan dengan operasi sebelum ini, peniaga perlu menggunakan berbilang organisasi perantara iaitu gerbang pembayaran, rakan pemerolehan, alat pengesanan penipuan dan sistem pelaporan yang berasingan yang mana setiap satu menambah lapisan kos dan kerumitan.
Setiap penyedia menghasilkan data mereka sendiri, menyebabkan kakitangan terpaksa menyelaraskan maklumat merentasi sistem.
Sistem terpisah ini memperlahankan operasi, meningkatkan risiko kesilapan dan akhirnya menambah kos. Selain itu, dengan kadar sewa yang semakin tinggi, tenaga kerja dan pengguna yang lebih prihatin terhadap harga, ketidakcekapan tersebut tidak boleh diteruskan secara mampan.
Dengan semua data pembayaran disatukan di bawah platform tunggal, peruncit boleh mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang tingkah laku pengguna.
Maklumat daripada data transaksi membolehkan mereka mengelakkan sebarang kerumitan daripada aliran pembayaran, mengutamakan kaedah pembayaran paling kos efektif dan menyediakan pengalaman pembayaran yang lebih lancar.
Bagaimana perkhidmatan ini dapat mengelak daripada penipuan?
Adyen telah memproses pembayaran untuk lebih satu bilion pelanggan di peringkat global. Melalui penyelesaian AI kami (Adyen Uplift), ia dapat membezakan pembeli yang baik daripada penipu.
Apabila pelanggan Adyen menerima pembeli baharu, terdapat kebarangkalian tinggi bahawa Adyen pernah melihat pembeli itu di tempat lain pada platformnya.
Selain itu, bagi peniaga runcit di platform, terdapat kebarangkalian lebih 90 peratus bahawa Adyen pernah melihat pembeli tersebut.Apabila pembeli yang baik dikenal pasti, proses pengoptimuman AI membolehkan mereka mempercepatkan proses pembayaran, manakala pembeli dan peruncit juga memanfaatkan proses jitu untuk mengurangkan penipuan pembayaran.
Sebahagian besar data peribadi yang diproses oleh Ayden, terutamanya maklumat kewangan, dikawal selia oleh pelbagai undang-undang privasi.
Selain itu, ia juga memiliki tahap keterlihatan penuh dalam masa sebenar terhadap aktiviti pembayaran mereka.
Malah mereka boleh mengakses dengan mudah laporan terperinci mengenai prestasi jualan, pemantauan bayaran dan ringkasan penyelarasan. Ini membantu mereka menjejak prestasi perniagaan, mengesan masalah dengan pantas dan membuat keputusan lebih baik.
Siapakah kumpulan sasaran Adyen di Malaysia?
Kumpulan pelanggan Adyen di Malaysia termasuk jenama-jenama tempatan dan global merentasi industri termasuk peruncitan, makanan dan minuman, pelancongan dan hospitaliti. Kebanyakan adalah syarikat yang terlibat dalam operasi fizikal dan juga dalam talian.
Kami juga menyokong perniagaan yang mendahulukan digital dalam sektor seperti penstriman dalam talian, pengangkutan dan e-dagang.
Apakah kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh Adyen dalam industri ini?
Kebanyakan peruncit Malaysia hari ini bergantung kepada sistem pembayaran lama. Sistem bersepadu lebih lama dan terpisah ini lazimnya gagal untuk menghubungkan transaksi di dalam kedai dan saluran dalam talian, menyebabkan pengalaman pembeli yang tidak terhubung dan penyelarasan operasi belakang yang rumit.
Selain itu terdapat sesetengah syarikat ragu-ragu untuk membuat pelaburan baharu ini, lebih-lebih lagi jika sistem sedia adanya sudah ‘cukup baik’ dalam jangka pendek.
Sepatutnya, syarikat yang ingin berkembang maju tahun depan dan selanjutnya, mesti mengambil pendekatan jangka panjang terhadap perniagaan. -KOSMO! ONLINE