GEORGE TOWN – Walaupun cuti sekolah panjang hampir sampai ke penghujungnya hari ini, Pulau Pinang masih menjadi tumpuan pelancong luar yang mengambil kesempatan beristirahat bersama keluarga sebelum kembali bekerja dan bersekolah bermula esok.
Tinjauan di lokasi pelancongan di pusat bandar seperti di Jalan Armenian serta Bukit Bendera mendapati orang ramai masih memenuhi kawasan berkenaan.
Suasana bagaimanapun tidak sesak seperti permulaan cuti panjang pada minggu lalu, sebaliknya lebih santai dan terkawal, memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati suasana serta tarikan yang ada.
Lorong ikonik di Jalan Armenian di tengah-tengah tapak Warisan Dunia UNESCO ini terkenal dengan deretan seni mural, kedai kraftangan, kafe tradisional dan bangunan bersejarah yang mengekalkan keunikan seni bina lama dilihat meriah dengan kedatangan pengunjung.
Seorang pengunjung, Mohd Azhar Hamdan, 35, dari Kuala Lumpur berkata, Jalan Armenian sentiasa menjadi lokasi wajib setiap kali dia berkunjung ke Pulau Pinang.
“Tempat ini unik kerana penuh dengan nilai seni. Anak-anak seronok bergambar di mural dan saya dapat lihat mereka lebih menghargai sejarah bandar lama ini,” katanya di sini semalam.
Bagi Noor Afifah Ibrahim, 30, pengalaman di Jalan Armenian memberi kelainan berbanding lokasi pelancongan lain.
“Kalau di pantai lebih kepada suasana santai, tapi di sini anak-anak belajar tentang seni, warisan dan budaya. Banyak kedai menjual cenderamata yang sesuai dibawa pulang,” ujarnya.
Di Bukit Bendera pula, pengunjung membawa keluarga masing-masing berjalan santai sambil merakam gambar kenangan di bukit pelancongan popular di Pulau Pinang itu.
Walaupun cuti panjang sudah berada di penghujung, suasana di sekitar pusat pelancongan tersebut masih meriah dengan pelancong yang mahu menghabiskan masa sebelum kembali bekerja.
Sharifah Husna Abidin, 37, dari Johor yang melawat Bukit Bendera bersama keluarga berkata, kawasan tersebut sesuai untuk aktiviti keluarga kerana selamat untuk berjalan kaki dan dipenuhi tarikan menarik.
“Setiap sudut di Bukit Bendera ada nilai tersendiri. Kami boleh bergambar di atas bukit selain singgah di kafe dan beli kraftangan tempatan. Ini pengalaman yang tidak sama di tempat lain,” jelasnya.

Di Kuala Terengganu, biarpun musim cuti persekolahan sudah sampai di penghujung, Terengganu masih ramai dikunjungi pelancong pada saat-saat akhir.
Antara destinasi popular yang masih menerima ramai kunjungan pelancong ialah Kompleks Kraf Noor Arfa Batik, Chendering, di sini yang menawarkan pelbagai produk busana dan kraf berasaskan batik.
Selain membeli pakaian berasaskan batik, ramai pengunjung Kompleks Kraf Noor Arfa Batik turut tidak melepaskan peluang mencuba mencanting batik.
Ketua Pegawai Eksekutif Noor Arfa Batik, Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin berkata, permintaan set canting batik meningkat lebih lima kali ganda berbanding hari biasa.
Beliau berkata, secara purata 500 kit canting batik terjual setiap hari sejak hari pertama musim cuti persekolahan pada Jumaat minggu lalu.
“Ramai pengunjung termasuk pelancong asing bukan sahaja membeli produk batik malah mencari kit canting batik.
“Mereka mahu merasai sendiri pengalaman mencanting batik dengan warna pilihan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Hafidz Salleh, 37, dari Selama, Perak berkata, dia sengaja bercuti di hujung musim persekolahan bagi mengelak kesesakan.
“Puas melawat Masjid Kristal dan Muzium Negeri Terengganu serta membeli-belah termasuk keropok lekor di Pasar Besar Kedai Payang, kami ke Kompleks Kraf Noor Arfa Batik sebelum pulang.
“Anak-anak teruja mencanting batik sendiri dengan tunjuk ajar pekerja kompleks ini menggunakan kit terjual,” katanya. -KOSMO! ONLINE















