PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki hari kedua dengan keadaan laut lebih tenang dan ombak rendah berbanding empat jam pertama selepas kembali berlayar dari Portopalo Sicily, Itali semalam.
Menerusi video yang dimuat naik sukarelawan Malaysia, ZRA Strim atau Zainal Rashid Ahmad di Facebooknya, pelayaran masih berbaki lapan hari di Lautan Mediteranean merentasi Malta dan Greece sebelum tiba di Gaza.
“Hari ini, 716 hari Gaza berada dalam kegelapan dengan keadaan semakin memburuk oleh bencana kebuluran. Angka kematian sudah melepasi 65,000 nyawa,” kongsi beliau.
GSF yang memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu membabitkan 42 hingga 45 kapal termasuk konvoi Malta dan Greece yang membawa bekalan makanan dan perubatan.
Menurut Zainal Rashid, tujuan utama perlayaran tersebut untuk memecahkan kepungan Israel dan memperluas suara solidariti membela penduduk Gaza.
Ia merupakan misi ke-37 dalam sejarah flotilla untuk Gaza yang dimulakan sejak tahun 2008. – KOSMO! ONLINE