NARATHIWAT, THAILAND – Cubaan sindiket pengedaran dadah untuk menyeludup sebanyak 450,000 biji pil kuda bernilai RM1.78 juta ke Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier gagal selepas pihak berkuasa Thailand menjalankan serbuan di sebuah pusat kurier di Sai Thong 4, Sungai Golok dekat sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dijalankan oleh Unit Operasi Narkotik Kor Pertahanan Sukarelawan Daerah Sungai Golok, polis dan pasukan dari Divisyen 3 Biro Narkotik Wilayah 4 selepas menerima maklumat orang ramai.
Setiausaha Tetap Wilayah Narathiwat, Anirut Buayon berkata, hasil pemeriksaan terhadap premis berkenaan membawa kepada penemuan sebanyak 450,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai kira-kira 13.5 juta baht (RM1.78 juta).
“Siasatan masih dijalankan dan dadah terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ketika dihubungi di sini hari ini.
Anirut memberitahu, operasi itu selaras dengan dasar kerajaan dalam memerangi dadah secara tegas dan berterusan kerana Selatan Thailand menjadi lokasi transit dadah untuk diseludup ke negara jiran.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, cubaan sindiket untuk menyeludup sebanyak lebih 1.1 tan syabu ke Malaysia gagal selepas polis menjalankan dua serbuan berasingan di Tak Bai dan Songkhla dekat sini pada 1 September lalu.
Lima individu yang dipercayai ahli sindiket yang berusia dalam lingkungan 34 hingga 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE