KLANG – Kelicikan sindiket pengedaran rokok seludup menjadikan dua buah rumah teres di Taman Seri Serdang dan Jalan Setia Alam sebagai stor simpanan berjaya dibongkar menerusi Op Taring Alpha, semalam.
Serbuan selama dua jam bermula pukul 12 tengah hari itu merampas 700 rokok seludup bersama dua buah kereta dan telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM532,896.40.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Jafri Muhamad berkata, operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Shah Alam itu tuurt menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia 30 dan 40-an.
“Kedua-dua suspek digaji oleh sindiket untuk menjaga stor tersebut. Bekalan rokok seludup itu pula untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya hari ini.
Siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan penyewa asal kediaman teres setingkat itu. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Klang Utara dan Shah Alam untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE