KUALA PILAH – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuala Pilah-Tampin, berhampiran Klinik Kesihatan Johol di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 5.45 petang itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan motosikal Honda Dash.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati kereta itu cuba memotong kenderaan lain ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Bahau.
“Kereta itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar motosikal dari arah bertentangan. Akibatnya, penunggang motosikal meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE