BEIJING – Sekurang-kurangnya seorang cedera selepas dua kereta terbang bertembung di udara ketika menjalani satu latihan pertunjukan di timur laut China, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Kejadian berlaku di bandar Changchun, wilayah Jilin kelmarin.
Syarikat Xpeng AeroHT berkata, kedua-dua kereta itu bertembung di udara, dengan satu daripadanya terbakar semasa mendarat.
“Sebuah kenderaan mengalami kerosakan fiuslaj dan terbakar semasa mendarat.
“Mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai salah seorang pekerja syarikat kami,” kata Xpeng AeroHT dalam satu kenyataan.
Rakaman video dimuat naik di media sosial China, Weibo, menunjukkan salah satu kereta terbang dijilat api marak sehingga mengeluarkan asap tebal.
Latihan tersebut dilakukan untuk acara Pertunjukan Udara Changchun yang berlangsung pada akhir minggu ini.
“Semua kakitangan dilaporkan selamat, manakala pihak berkuasa tempatan telah melakukan langkah kecemasan di tempat kejadian dengan teratur,” tambah syarikat itu. – AGENSI