KUALA LUMPUR – Lebih 30 selebriti termasuk penyanyi dikir dan penceramah bakal memeriahkan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.
Festival amal anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group, yang menggunakan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ ini bakal turut melibatkan para selebriti yang dekat di hati masyarakat Kelantan.
Wakil penganjur, Muhammad Nazrin Mohamad Isa merangkap koordinator KC Fest berkata, penglibatan selebriti turut memainkan peranan penting menarik orang ramai ke program amal ini.
Antara selebriti yang bakal menjayakan KC Fest ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi.
Dikir Barat
Bukan itu sahaja lebih 20 penyanyi dikir yang dekat di hati rakyat Kelantan akan turut membuat persembahan.
Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya.
“Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.
“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini.
“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.
“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah. Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya yang mensasarkan 50,000 pengunjung ke KC Fest kali ini.
Selain persembahan artis dan pelbagai gerai jualan, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik lain.
Antaranya Kelate Charity Walk yang turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan untuk turun padang berjalan bersama rakyat.
Program keluarga turut disediakan seperti persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur dan push bike untuk kanak-kanak.
“Selain itu, segmen Malam Kerohanian akan menyaksikan 1,111 peserta selawat berkumpul dalam Selawat Perdana.
Untuk segmen kerohanian juga, turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah, Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.
“Manakala Malam Kebudayaan pula akan memecahkan rekod Kelantan dengan persembahan 1111 orang pendikir di satu pentas besar dan ditutup dengan pertunjukan bunga api,” katanya.
Raikan asnaf
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd. Radin berkata, KC Fest 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan daripada pihak penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Dalam pada itu, sebagai menjawab pertanyaan beberapa pihak, Kamal Azmi juga turut menjelaskan tentang pemilihan lokasi di Kelantan untuk acara amal ini.
“Kelantan dipilih kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang sangat kuat.
“KC Fest sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar.
“Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.
“Kita mahu Kelantan jadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas, sekaligus memperkenalkan budaya Kelantan yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE