fbpx
IZZATI bangga menjadi sebahagian daripada komuniti bola sepak.

Izzati ‘lincah’ di padang bola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Gadis Pesona Ahad minggu ini, Noor Izzati A. Rahman, 25, atau lebih mesra disapa Izzati melihat bola sepak sebagai lebih daripada sekadar aksi 90 minit di atas padang.

Minatnya yang mendalam terhadap sukan nombor satu dunia itu telah membuka pintu besar dalam hidupnya termasuk peluang berharga menemu bual pemain-pemain bola sepak ter­kenal, baik tempatan mahupun antarabangsa. Ia sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum ini.

Graduan Kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga membuktikan bahawa wanita mampu berdiri sebaris dengan lelaki dalam dunia sukan yang sering dilabel sebagai ‘lapangan kaum Adam’.

Berkongsi kisahnya kepada Kosmo! Ahad, gadis berperso­naliti ceria ini mengakui hidup­nya kini lebih bahagia sejak me­langkah ke dunia kerjaya bersama sebuah badan pengelola bola sepak profesional yang berpusat di Kelana Jaya.

KOSMO! AHAD: Kongsikan mengenai diri anda.
IZZATI: Saya merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor dan kini bekerja dan menetap di Kuala Lumpur. Saya mempunyai lapan adik-beradik iaitu seorang kakak dan enam abang. Dari segi makanan, saya memang gemarkan soto dan sate daging.

Bagaimana timbul minat dalam bidang wartawan penyiaran?
Pada mulanya, minat ini hadir selepas melihat Hawa Rizwana membaca berita ketika masih di TV9. Saya suka dengan gaya penyampaian beliau. Selain itu, sejak kecil saya gemar ikut abang-abang ke stadium bola sepak. Dari situ, minat untuk terlibat dalam bidang penyiaran dan liputan bola sepak semakin berkembang.

Bagaimana definisi ‘bijak’ bagi Izzati?
Bagi saya, seseorang itu boleh dianggap bijak apabila berjaya bekerja secara pintar (work smart) dan bukan hanya bekerja keras (work hard).

Apakah perkara yang sering dikongsikan di media sosial?
Saya gemar berkongsi gambar anak-anak saudara kerana mereka sangat rapat dan manja dengan saya. Selain itu, saya juga suka memuat naik aktiviti perkhemahan (camping) yang sering saya sertai.

Memandangkan anda mempunyai ramai peminat bola sepak di stadium, adakah pernah diganggu?
Pernah, tetapi tidaklah sampai tahap yang mengancam keselamatan diri. Saya menghormati mereka dan mereka juga tahu untuk menghormati saya.

Tiga perkara yang orang tidak tahu tentang Izzati.
Saya suka memasak. Kedua, saya seorang yang gemar tidur dan ketiga, saya tidak suka melipat baju.

Apakah ciri-ciri lelaki pi­lihan Izzati?
Saya lebih tertarik kepada lelaki yang mempunyai minat sama dengan saya, memahami agama, berpenampilan maskulin dan lebih berusia daripada saya.

Nasihat Izzati kepada adik-adik khusus­nya wanita yang ingin berkarier di depan kamera.
Jangan terlalu ambil peduli kata-kata orang, sebaliknya perlu yakin dengan diri sendiri untuk terus mara ke hadapan. Paling penting, restu ibu bapa mesti menjadi ke­utamaan.

Siapa pemain bola yang diminati?
Cristiano Ronaldo. Saya suka disiplin dia, semangat juang yang tinggi dan bagaimana dia bawa diri sebagai atlet bertaraf dunia. Itu yang buat saya selalu terins­pirasi.

Pandangan ada kepada peminat di stadium?
Sebenarnya bukan rahsia pun. Ramai dah kenal saya sebab saya rajin buat live dan konten di stadium. Jadi bila mereka nampak saya, ada yang tegur, lambai, malah ada yang datang bersembang. Dari situ timbul rasa mesra macam kita semua satu komuniti bola sepak yang besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN