SUNGAI BULOH – “Saya sempat nampak bayang orang di dalam rumah sebelum bahagian depan rumah runtuh. Masa itu, jeritan yang kuat makin perlahan. Saya hanya mampu tengok tanpa berdaya”.
Demikian kata-kata Muhamad Ezamri Mazalan, 41, yang merupakan jiran kepada dua beranak, Kaw Sing Chai, 94, dan Kaw Swee Fatt, 62, yang maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Sri Indah A, di sini, kira-kira pukul 12.45 tengah malam tadi.
Menurut Muhamad Ezamri, dia terdengar jeritan kuat dua beranak itu ketika sedang menidurkan anak sebelum mendapati api sedang marak membakar rumah jirannya itu.
“Mula-mula saya sangka ada rompakan, tapi bila keluar tengok, saya nampak cahaya merah-merah dan dengar bunyi letupan kecil. Saya cuba nak pecahkan grill (jeriji tingkap) untuk selamatkan mangsa, tapi tak sempat kerana api terlalu cepat merebak.
“Saya sempat nampak bayang orang di dalam rumah sebelum bahagian depan runtuh. Masa itu, jeritan makin perlahan… mungkin sebab asap tebal. Saya hanya mampu tengok tanpa berdaya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambah Ezamri, dia bersama seorang sahabat cuba membantu menyelamatkan mangsa namun segala usaha terbantut kerana pintu pagar berkunci dan api marak dalam masa kurang lima minit.
“Saya hanya sempat jerit suruh jiran-jiran berdekatan keluar, bimbang api merebak. Memang sedih, sebab mangsa terperangkap dan kami tak mampu buat apa-apa,” ujarnya.
Menurut Ezamri difahamkan, Swee Fatt menjaga bapanya Sing Chai sudah uzur dan tragedi itu meninggalkan kesan mendalam kepada jiran tetangga yang rata-rata mengenali mangsa sebagai keluarga baik dan mesra.
“Ramai masih terkejut sebab jeritan minta tolong itu menjadi detik terakhir sebelum kedua-duanya maut dalam kebakaran ini,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.50 tengah malam sebelum 16 anggota bersama tiga jentera dikerah ke lokasi.
“Dua mangsa lelaki ditemukan ditemui rentung di dalam bilik dan tandas. Kebakaran turut melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Perodua Kancil,” katanya.














