ADA yang menganggap kejayaan tempat ketiga Piala Asia 2025 di Rajgir, India tidak sepatutnya diraikan berlebihan.
Ini disebabkan potensi dan prestasi yang dipamerkan skuad hoki lelaki negara sebenarnya mampu meraih pencapaian lebih bagus dengan melangkah ke pentas final tetapi dikecewakan disebabkan ‘penyakit lama’.
Namun, ramai tidak sedar bahawa itu adalah kejayaan podium pertama buat Speedy Tigers selepas lebih setahun di bawah bimbingan Sarjit Singh sejak dilantik pada Mac 2024.
Pujian wajar diberikan kepada barisan kejurulatihan kerana berjaya menamatkan penantian podium dalam perjalanan mereka meraih pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September tahun depan.
Sejak pelantikan Sarjit, pelbagai kritikan dilemparkan susulan pelbagai episod kegagalan termasuk jatuh ke kedudukan 15 dunia, ranking terendah Speedy Tigers sejak 2008 sebelum kini kembali ke No. 12 dunia.
Sebelum kempen Piala Asia 2025, pencapaian terbaik di bawah Sarjit hanyalah tempat keempat Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Ipoh, Perak pada Mei tahun lalu.
Skuad negara juga pernah menghuni kedudukan tercorot pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China selain meraih tempat keenam di laman sendiri ketika Malaysia menganjurkan Piala Negara-Negara FIH tahun ini.
Biarpun gagal mempertahankan status naib juara Piala Asia diraih dua edisi terdahulu, namun pencapaian tempat ketiga kali ini mampu membakar semangat barisan pemain.
Kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh dan Korea Selatan selain pesta jaringan 15-0 ke atas Taiwan dalam tiga aksi kumpulan membuktikan peningkatan penyudah Malaysia tanpa kehadiran Faizal Saari yang kini sudah bersara.
Di Super4s, kegagalan mempertahankan kelebihan 3-2 dengan membenarkan Korea Selatan bangkit meledak dua gol dalam tempoh seminit pada minit ke-50 dan 51 menyebabkan Malaysia tewas 3-4.
Biarpun tewas 1-4 kepada India sebelum itu, tetapi kekalahan kepada Korea Selatan menjadi punca kegagalan ke final dalam usaha menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah penganjuran sejak edisi pertama 1982.
Dari sudut positif, Speedy Tigers menunjukkan reaksi balas membelasah China 4-1 untuk meraih tempat ketiga selain kejayaan dua pemain memenangi anugerah individu.
Akhimullah Anuar Esook dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol sementara Andywalfian Jeffrynus diberikan Pemain Muda Terbaik Piala Asia 2025.
Jadi Speedy Tigers seharusnya menjadikan kejayaan itu sebagai titik kebangkitan untuk kembali digeruni dan dihormati lawan-lawan Asia dalam usaha melakar pencapaian lebih gemilang.
Kini, segala usaha perlu ditumpukan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia awal tahun depan bagi menyambar tiket ke Piala Dunia 2026 di Belanda-Belgium pada Ogos 2026.
Selain Sukan Komanwel Glasgow 2026, ujian paling getir tahun depan adalah Sukan Asia Aichi-Nagoya kerana pingat emas akan melayakkan Speedy Tigers ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Jika berjaya, ia akan menamatkan kemarau panjang arena hoki negara di pentas Olimpik sejak kali terakhir membuat penampilan pada edisi 2000 di Sydney, Australia.














