KAJANG – Seorang pelajar lelaki yang tular menumbuk guru lelakinya pada Julai lalu menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah di di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam S. Priyalatha yang mewakili tertuduh juvana yang berusia 14 tahun itu selepas sebutan kes di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil yang dijalankan dalam prosiding tertutup.
“Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen pada 9 Oktober ini. Sama ada pihak kami akan mengemukakan representasi atau mengambil tindakan lain, kita tunggu dokumen berkaitan tertuduh daripada pihak pendakwaan,” kata peguam itu.
Sepatutnya hari ini adalah ditetapkan untuk jatuh hukum dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tertuduh menukar kepada pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula.
Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri. Mahkamah kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin seperti mana yang jumlah ditetapkan sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas guru lelakinya berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di sini pukul 4.48 petang pada 28 Julai lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000
atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini media melaporkan berang ditegur kerana ponteng kelas punca seorang pelajar lelaki bertindak menumbuk muka seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kebangsaan, di sini.– KOSMO! ONLINE