TANGGAL 11 Mei lalu merupakan detik bersejarah buat kumpulan KRU apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR) menerusi pencapaian luar biasa Konsert GenKRU 2025 selama empat hari di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
KRU menerima 30,000 peminat yang mahu menyaksikan kemunculan trio adik-beradik itu selepas sekian lama menyepi.
Pada konsert itu, mereka juga membawakan kemunculan istimewa seperti kumpulan Feminin, Elite, Adam AF dan juga Datuk AC Mizal.
Selepas dari itu, Feminin dan 4U2C yang dianggotai AC Mizal mengumumkan bakal mengadakan konsert.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut menimbulkan reaksi kurang senang daripada peminat yang tidak bersetuju kumpulan terbabit mengadakan konsert seperti perasaan gelisah apabila merasakan diri ketinggalan atau digelar fear of missing out (FOMO).
Menurut Datuk Norman Abdul Halim yang juga anggota KRU, konsert GenKRU merupakan titik kebangkitan semula fenomena era 90-an dalam industri muzik tempatan sehingga mendorong rakan artis lain mengadakan konsert nostalgia.
“Sambutan GenKRU memang luar biasa dan saya sendiri tak sangka kami buat persembahan selama empat malam di Axiata Arena. Itu satu penghargaan daripada peminat mendorong kawan-kawan lain untuk bersama kami bawa balik era 90-an.
“Kami juga bawakan beberapa artis jemputan di konsert seperti kumpulan Elite, Adam, Feminin dan 4U2C. Mungkin itu mencetus idea untuk mereka adakan konsert.
“Secara tak langsung wujudkan dan galakan artis buat konsert masing-masing. Kita lihat dari sudut positif dengan konsert GenKRU sedikit sebanyak pengaruh minat mereka buat konsert,” katanya kepada Kosmo!
Selain itu, Norman menegaskan konsert GenKRU secara tidak langsung membuka ruang serta memberi galakan kepada artis lain untuk terus berkarya mengikut cara tersendiri.
“Masing-masing ada minat tersendiri. Saya saya jadi artis lain mesti tidak mahu ditegur tak perlu buat konsert. Kena jaga hati.
“Ada sebab KRU berjaya. Kami sebenarnya tak pernah tak ada dalam industri, Yusry banyak buat filem, Edry pula cipta lagu.
“Kami bertiga memang tak pernah buat lagu baharu, tetapi bila bergabung semula dan cetuskan minat untuk orang kembali ke zaman kegemilangan kami.
Tambahnya, kejayaan artis lain dalam mengadakan konsert turut memberi kepuasan tersendiri buatnya kerana mampu menghidupkan suasana festival muzik sepanjang tahun ini.
“Bagi saya apa-apa ilmu pengalaman atau pengetahuan saya tak kisah untuk kongsikan. Rezeki masing-masing dan saya harap mereka semua berjaya.
“Apa untung saya kalau mereka tak berjaya? Malah, timbul rasa seronok sebab ada festival berpanjangan sepanjang 2025.
“Cuba kalau GenKRU tak ada konsert, macam mana perasaan terutama nak imbau memori era 90-an.
“Elite atau 4U2C mahupun artis lain yang terlibat lebih panjangkan sambutan (konsert) era 90-an itu,” jelasnya.














