KUALA LUMPUR – Dewan Negara dimaklumkan, Amerika Syarikat (AS) dikenal pasti sebagai penyumbang utama sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) yang diseludup masuk ke negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia membabitkan 88 peratus daripada e-sisa yang diseludup ke negara ini.
“Kanada, England, Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Jepun turut menyumbang kepada peratusan e-sisa diseludup ke negara ini,” katanya melalui jawapan bertulis kepada Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri SV Vell Paari mengenai langkah kerajaan dalam membanteras penyeludupan e-sisa ke negara ini.
Dalam pada itu, Johari berkata, sebanyak 951 daripada 1,414 kontena yang mengandungi e-sisa telah ditahan dan diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) antara 2021 hingga tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 365 kontena terbabit sudah dihantar pulang ke negara asal selaras dengan prosedur di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Pelupusannya.
Bagi menangani isu tersebut, kata beliau, kerajaan mengambil langkah tegas mengarahkan syarikat pengimport yang membawa masuk e-sisa secara haram untuk menghantar semula ke negara asal.
Tambah beliau, kerjasama semua agensi terlibat di pelabuhan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa pelabuhan dan JAS diperkukuhkan bagi meningkatkan penguatkuasaan.
Ujar beliau, kerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain daripada segi penyaluran maklumat juga dipertingkatkan.
Kata beliau, tindakan perundangan turut dikenakan kepada semua pengimport yang membawa masuk e-sisa secara haram ke negara ini.
“Penguatkuasaan terhadap operasi kilang haram melalui pelaksanaan Ops Hazard secara bersepadu di seluruh negara pada Februari dan Jun lalu.
“Sebanyak 122 premis diserbu dan kes disiasat di bawah pelbagai kesalahan, termasuk Akta Senjata Api 1960, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE














