fbpx
JACKSON perlu membuktikan kemampuannya dan beraksi jumlah minimum 40 perlawanan untuk berhijrah secara kekal di Bayern. - AFP

EPL: Bayern tidak sedia ikat Jackson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNICH – Ahli lembaga pengarah Bayern Munich, Uli Hoeness mendedahkan bahawa kelab itu tidak akan mendapatkan khidmat Nicolas Jackson secara kekal musim depan dan bakal dihantar pulang ke Stamford Bridge sebaik tempoh pinjamannya berakhir.

Karier Jackson di Chelsea dianggap sudah berakhir selepas dia dipinjamkan ke Bayern dengan pilihan untuk mengikat kontrak secara kekal bersama gergasi Bundesliga berkenaan musim depan.

Dilaporkan, Bayern membayar nilai pinjamannya sebanyak £14 juta (RM79.79 juta) dengan pilihan untuk mendapatkannya secara kekal pada harga £56 juta (RM319.17 juta) dengan syarat dia mampu membuat penampilan dengan jumlah yang ditetapkan.

Hoeness mendedahkan bahawa berdasarkan perjanjian tersebut, Jackson perlu membuat 40 penampilan sepanjang musim ini untuk membolehkan dia berhijrah ke Bayern secara tetap yang menurutnya tidak akan berlaku.

Jelasnya, yuran pinjaman tersebut juga menyaksikan Bayern sekadar membayar £12 juta (RM68.39 juta), manakala selebihnya dilunaskan oleh Jackson dan ejennya untuk memastikan dia menyertai Bayern.

“Perpindahan kekal hanya akan berlaku sekiranya dia bermain dalam 40 perlawanan dan itu tidak mungkin berlaku. Perjanjian kekal untuk musim depan tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Jackson dilepaskan Chelsea selepas pasukan itu berjaya mendapatkan khidmat Liam Delap dan Joao Pedro dan di Bayern dia hanya diberikan peranan sebagai penyerang sokongan di belakang Harry Kane. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN