fbpx
TELEFON pintar terbaharu Samsung ini mementingkan ketahanan berbanding gaya.

Telefon lasak untuk gaya hidup aktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERANTI dengan reka bentuk bergaya dan spesifikasi kamera canggih sering menjadi perhatian pengguna setiap kali gajet baharu muncul di pasaran.

Namun, ada segelintir pengguna yang mencari sesuatu yang lebih bersifat praktikal, tahan lasak dan boleh ‘setia’ bersama dengan mereka terutama ketika bekerja di lapangan.

Bagi memenuhi keinginan itu, Samsung melancarkan peranti yang direka khas untuk tahan dalam keadaan ekstrem, tanpa mengorbankan fungsi moden.

Memetik kenyataan daripada Samsung, telefon model Galaxy XCover7 Pro itu hadir dengan kamera belakang 50MP (wide) dan 8MP (ultra-wide), sementara kamera hadapan 13MP.

“Walaupun tidak menyasarkan hasil fotografi artistik, kamera Galaxy XCover7 Pro cukup baik untuk dokumentasi kerja, rakaman visual lapangan atau kegunaan media sosial ringkas.

“Skrin dengan teknologi Vision Booster pula memastikan paparan jelas, walaupun di bawah cahaya matahari terik.

“Galaxy XCover7 Pro menyokong Samsung DeX membolehkan ia disambungkan ke monitor untuk pengalaman seperti desktop,” kata jurucakap Samsung.

Tampil dengan gaya luar biasa, peranti itu juga mempunyai butang boleh diprogram iaitu XCover Key untuk pintasan kerja seperti mengaktifkan lampu suluh, push-to-talk atau pengimbas kod bar.

Tidak hanya memberi fokus kepada fungsi, syarikat teknologi gergasi dari Korea Selatan itu turut memberi perhatian kepada keselamatan bagi melindungi data sensitif dengan enkripsi tahap optimum menerusi Samsung Knox Vault.

Selain itu, Galaxy XCover7 Pro tampil dengan binaan yang kukuh, diperakui dengan piawaian IP68 untuk kalis debu dan air.

Ia juga dilengkapi dengan MIL-STD-810H bagi memastikan peranti ini tahan hentakan, getaran, kelembapan dan suhu ekstrem.

GALAXY XCover7 Pro dikuasakan dengan bateri, 4,050mAh.

Reka bentuk ringkas dengan kerangka tebal membuatkan cengkaman selesa, walaupun digunakan ketika tangan basah atau berpeluh.

Jelasnya, pesona telefon itu bukan dicipta untuk kelihatan mewah, sebaliknya khusus bagi mereka yang mementingkan ketahanan berbanding gaya.

Beralih tentang paparan Galaxy XCover7 Pro, ia dilengkapi skrin 6.6 inci FHD+ PLS LCD dengan kadar segar semula 60Hz.

Walaupun tidak setanding dengan AMOLED atau skrin berfrekuensi tinggi pada model flagship, namun ia cukup terang untuk digunakan di bawah cahaya matahari terik.

Tidak hanya itu, skrin telefon berkenaan dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus+ yang menjadikan ia bersifat tahan calar dan hentakan ringan.

Bahagian dalam Galaxy XCover7 Pro dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 6100+ dengan sokongan teknologi 5G, digandingkan bersama RAM 6GB dan storan dalaman 128GB yang boleh diperluaskan melalui kad microSD.

Memandangkan model ini memberi tumpuan untuk kerja tahan lasak, pengguna tentu tertarik dengan Galaxy XCover7 Pro kerana mempunyai kuasa bateri 4,050mAh.

Kelebihan itu membolehkan pengguna menukar bateri baharu jika perlu terutama bagi mereka yang berada lama di lapangan.

Selain itu, peranti ini disokong oleh pengecasan pantas 15W melalui port USB-C.

Di Malaysia, pengguna boleh dapatkan Galaxy XCover7 Pro pada harga RM2,599.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN