PERLIS mungkin kecil dari segi keluasan, namun menyimpan pelbagai tarikan semula jadi yang menakjubkan.
Menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong, Pelantar Pemerhati Viewpoint Wang Kelian merupakan destinasi ikonik yang menawarkan pemandangan mempesonakan dari ketinggian 304 meter dari aras laut.
Bagi pengunjung yang mencari ketenangan, lokasi itu sesuai untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan jauh dari hiruk-pikuk bandar.
Menurut Pegawai Hutan Daerah Perlis Utara, Muhamad Afandi Zakaria, pelantar pemerhati itu terletak berhampiran Taman Negeri Perlis dan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam.
“Lokasi Pelantar Pemerhati Viewpoint Wang Kelian juga terletak berhampiran sempadan antarabangsa, sekali gus membolehkan pengunjung melihat wilayah Satun, Thailand yang berjarak kurang tiga kilometer (km) dari pelantar pemerhati ini. Pengunjung juga boleh melihat matahari terbit dari kawasan pelantar pemerhati.
“Sekiranya bernasib baik, mereka berpeluang melihat awan ‘karpet’ kerana fenomena itu bergantung kepada keadaan cuaca terutama selepas waktu hujan pada tengah malam,” katanya kepada CitaRasa.
Awan karpet ialah gumpalan awan yang terbentang luas bak permaidani.
Kedudukan lokasi membuatkan Pelantar Pemerhati Viewpoint Wang Kelian mempunyai tarikan tersendiri dengan menyajikan pemandangan dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Thailand.

Lokasi itu juga menjadi destinasi menarik buat mereka yang gemar berfoto kerana mereka berpeluang berdiri megah di puncak bukit berhampiran Banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjan Malaysia.
Dengan ketinggian lebih 300 meter dari aras laut, pengunjung dapat menikmati panorama menawan meliputi landskap hutan hijau, sawah padi, perkampungan setempat dan deretan bukit kapur.
Hutan simpan berhampiran pelantar pemerhati itu juga menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, termasuk endemik yang jarang ditemui.
Ini menjadi peluang keemasan buat pengunjung yang ingin merakam momen indah panorama ciptaan Tuhan.
Pelantar Pemerhati Viewpoint Wang Kelian bukan sekadar lokasi untuk melihat pemandangan, malah menjadi simbol gabungan alam dan nilai ekopelancongan di Perlis.
Pengunjung juga boleh datang awal ke Pelantar Pemerhati Viewpoint Wang Kelian kerana waktu operasinya seawal pukul 6.30 pagi hingga 6.30 petang.
Laluan menuju ke lokasi itu menawarkan pengalaman menarik dengan laluan berselekoh, di samping melalui kawasan berbukit dipenuhi kehijauan.
Ruangan parkir turut disediakan buat pelancong untuk memudahkan mereka meletakkan kenderaan dengan selamat.
Bagi yang ingin meneruskan pengembaraan, mereka boleh ke Gua Kelam yang terletak kira-kira 10 minit dari pelantar pemerhati itu. Di Gua Kelam, pelancong boleh menyaksikan sejarah bekas aktiviti perlombongan bijih timah dengan melalui laluan interpretasi gua sepanjang 1.5km.














