fbpx
GAMBAR HIASAN

Premis loteri, judi tanpa lesen digempur, 328 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 328 individu disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian tanpa lesen ditahan polis dalam serbuan Op Dadu Mega pada Sabtu dan Ahad lalu.

Operasi serentak di seluruh negara itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 395 premis telah diperiksa.

“Pemeriksaan mendapati sejumlah 272 premis menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen melibatkan 245 premis penjualan loteri awam.

“Selain itu, polis mengesan 20 premis perjudian dalam talian serta lima pusat hiburan keluarga dan dua premis perjudian ‘calling centre’ beroperasi tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan, polis menahan 286 lelaki dan 42 wanita terdiri daripada 258 warga tempatan dan 70 warga asing.

Katanya, mereka yang ditahan disyaki pemilik premis, penjaga premis, pekerja dan pemain dalam aktiviti perjudian tersebut.

“Turut dirampas dalam operasi tersebut sejumlah wang tunai, perkakasan komputer, telefon bimbit, dan lain-lain peralatan serta mesin perjudian.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” ujarnya.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI