SUNGAI BULOH – Seorang banduan lelaki yang dilaporkan melarikan diri ketika mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Desa Coalfields, di sini Jumaat lalu dipercayai masih berada dalam negara.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pihaknya melancarkan Ops Kesan bagi mengesan suspek yang hilang ketika masih dalam tempoh parol.
“Sekiranya ada pihak yang ternampak suspek, maklumat boleh disalurkan segera kepada pihak penjara atau polis.
“Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas untuk menjejaki lelaki terbabit dan kita percaya dia masih berada dalam negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek berada di fasa akhir parol dan hanya berbaki sedikit masa sebelum dibebaskan sepenuhnya.
“Tindakan melarikan diri ini sebenarnya merugikan diri sendiri kerana dia hampir menamatkan tempoh hukuman.
“Kita minta supaya suspek segera menyerah diri kerana usaha mengesannya kini digerakkan di setiap sudut,” ujarnya.
Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan seorang banduan lelaki banduan dikenali sebagai M. Devan, 39, dilaporkan hilang ketika menjalani PBSL di Desa Coalfields. – KOSMO! ONLINE