fbpx
Keratan Kosmo! 30 Ogos 2025

Untung belum tentu, hutang tetap kena bayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minggu lalu, nyawa seorang isteri di Pulau Pinang menjadi taruhan gara-gara suami yang berhutang.

Dalam kejadian menjelang waktu subuh itu, si suami mengelar leher isteri dengan pisau sebelum mencederakan diri sendiri.

Mangsa bernasib baik kerana kejadian disedari oleh ibunya yang bertindak pantas menariknya dari atas katil.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek yang juga pendidik berdepan masalah hutang pinjaman bank yang dibuat untuk pelaburan saham dan bayaran ansuran pembelian barang di platform e-dagang.

Kes gaduh disebabkan hutang bukan perkara baharu, malah ada yang sampai hilang nyawa. Ramai yang hilang kewarasan sebab duit, lebih-lebih lagi jika jumlahnya besar.

Bulan lalu, ada seorang guru wanita berusia 39 tahun mendedahkan dia kerugian RM1.2 juta selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat konsultan kewangan. Wanita itu mendakwa diperdaya untuk membuat pinjaman dengan empat buah bank bagi tujuan pelaburan.

Katanya, hidupnya musnah kerana terpaksa menanggung hutang melebihi kemampuan. Setiap hari pihak bank mencarinya dan jika dicongak sampai mati pun dia mengaku tidak mampu untuk melunaskan semua pinjaman tersebut.

Kesilapannya adalah membuat pinjaman bank untuk melabur. Melabur pula belum tentu guna saluran yang betul dan dibenarkan agensi kerajaan berkaitan antaranya Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Ramai yang terlepas pandang bab itu kerana mereka lebih tertarik dengan keuntungan tinggi yang dijanjikan oleh wakil syarikat yang belum tentu wujud.

Mereka mula terbayang akan keuntungan yang bakal diperoleh dalam tempoh singkat sehingga menyebabkan ada yang gelap mata.

Jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan tinggi adalah dengan membuat pelaburan dalam jumlah besar.

Jika tiada wang, itu bukan masalah besar kerana pinjaman disediakan lebih-lebih lagi peminjamnya adalah penjawat awam. Apabila mereka ditipu, yang menjadi mangsa adalah peminjam.

Scammer dapat duit berjuta-juta ringgit dengan begitu mudah, mangsa pula terpaksa menanggung hutang bukan sahaja sampai pencen, silap-silap sampai mati.

Tapi hakikatnya masih ramai yang belum celik mata bab ini. Mereka masih tidak dapat membezakan mana yang berdaftar, mana yang scam atau mungkin tutup mata sebab sudah termakan umpan.

Kadang-kadang penulis sendiri tertanya-tanya di mana silap mereka yang menjadi mangsa. Nak kata tidak tahu, boleh dikatakan setiap hari media di negara ini melaporkan mengenai kes-kes penipuan.

Ada bermacam-macam taktik dan jumlah kerugian yang dilaporkan pula bukan sedikit, kadang-kadang kita pun terkejut dengan tahap kekayaan orang Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi program Forum Merdeka di Shah Alam, Jumaat lalu mendedahkan mangsa penipuan bukannya kategori ‘biasa-biasa’, tetapi golongan terpelajar.

Walaupun pelbagai kempen dan nasihat diberikan oleh pihak polis, tetapi masih ada yang terjerat kerana mereka tamak. Benarlah kata pepatah ‘orang tamak selalu rugi’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN