KUALA LUMPUR – Hasrat untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang buat kali kedua pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis tidak tertunai selepas beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah tewas di pentas final.
Pada perlawanan yang berlangsung di Adidas Arena sebentar tadi, pasangan No.2 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan 14-21, 22-20, 17-21 kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Kehebatan beregu No.1 dunia itu nyata sukar digugat Pearly-Thinaah yang dilihat lebih banyak menahan asakan demi asakan dilancarkan pemenang pingat perak temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berkenaan.
Meskipun cuba untuk mengejar dan merapatkan kedudukan mata, namun ia belum cukup bagi menghalang kemenangan Sheng Shu-Tan Ning di set pertama yang seterusnya mendapat tonik tambahan di set kedua.
Memasuki set berikutnya, Pearly-Thinaah pada awalnya bermula baik untuk mendahului 6-4 sebelum pasangan China berkenaan kembali mengejar dan berjaya memintas kedudukan 10-7.
Bagaimanapun, beregu negara berjaya mengutip mata demi mata dan menamatkan set kedua dengan kemenangan 22-20, sekali gus mengheret Sheng Shu-Tan Ning beraksi dalam set penentuan.
Pada set ketiga, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup menarik dan saling bertukar servis sehingga menyebabkan kedudukan mata tidak jauh berbeza apabila Sheng Shu-Tan Ning mendahului 15-12.
Kemudiannya, beregu lawan mula mengorak langkah demi langkah sebelum memastikan gelaran dunia menjadi milik mereka menerusi kemenangan 21-17 di set penentuan.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita pertama negara yang meraih pingat dalam kejohanan paling berprestij itu sejak ia dipertandingkan buat kali pertama di Malmo, Sweden pada 1977.
Gelaran naib juara diraih sekali gus mengatasi pencapaian terbaik mereka pada edisi 2023 di Copenhagen, Denmark yang menyaksikan mereka tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Zheng Yu-Zhang Shu Xian juga dari China.
Sebelum Kejohanan Dunia, Pearly-Thinaah boleh dianggap mempamerkan aksi cukup konsisten sepanjang musim ini apabila melangkah ke empat perlawanan akhir, termasuk ketika muncul juara Terbuka Thailand Mei lalu. – KOSMO! ONLINE