fbpx
QASHA (depan) bergambar bersama ahli kumpulannya De’Mahameru.

Jiwa seni, kepimpinan Qasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DILAHIR dan dibesarkan di Kampung Bukit Bayas, Terengganu, kisah hidup Muhammad Faris Aqashah Muhammad Faizal atau lebih dikenali sebagai Qasha bukanlah cerita biasa. 

Kehilangan ibu tersayang akibat kemalangan jalan raya ketika dia masih berusia empat bulan menjadi titik mula sebuah perjalanan penuh kecekalan. 

Dibesarkan oleh nenek, arwah datuk serta ibu saudara dan bapa saudaranya membuatkan Qasha membesar sebagai anak yang penuh azam dan semangat luar biasa. Sejak usia enam tahun, dia sudah terdedah kepada irama nasyid dan lagu-lagu popular era 90-an seperti Wings, Jinbara, Kangen Band dan Peterpan. 

Bakatnya mula menyerlah ketika menjadi anggota kumpulan nasyid sekolah rendah dan diteruskan hingga ke peringkat menengah bersama kumpulan SoutulRayyan.

Namun, pandemik Covid-19 merubah segalanya apabila nyanyiannya terhenti dan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pun begitu, minat seni tersebut tak pernah padam dalam dirinya. 

Kini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Qasha, 19, kembali mengorak langkah sebagai vokalis utama Kelab De’Mahameru, kelab muzik moden di bawah Pusat Kesenian Warisan.

Memegang jawatan sebagai Exco Aktiviti sesi 2024/2025, Qasha aktif mengendalikan persembahan-persembahan berskala besar seperti Majlis Apresiasi Sukan UniSZA, Terengganu Marathon dan banyak lagi.

“Saya percaya seni bukan sekadar hiburan, ia adalah saluran dakwah, terapi dan ruang ekspresi jiwa. 

Saya bangga menjadi sebahagian daripada De’Mahameru kerana kami bukan sekadar band biasa, kami ada standard, imej dan hala tuju,” ujarnya penuh yakin kepada K-Kampus. 

QASHA ketika membuat persembahan di salah sebuah acara kampus baru-baru ini.

Bukan sekadar berbakat dalam seni, mahasiswa tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko dan Takaful) ini juga aktif dalam dunia kepimpinan dan kesukarelawanan. 

Meskipun masih hijau, dia telah diberi kepercayaan sebagai Naib Presiden 1 Kelab Marim Student Chapter, satu pengalaman yang pada mulanya penuh cabaran, namun menjadi medan pembelajaran paling berharga.

“Saya pilih jalan kepimpinan kerana saya ingin cabaran. 

“Saya mahu keluar dari zon selesa. Bila kita berada di tempat yang tinggi, kita bukan sekadar memimpin, tapi kita perlu bersedia belajar dan berkhidmat,” kongsinya.

Tambahnya, buat masa ini, dia  turut aktif menyertai pelbagai program anjuran universiti, khususnya dalam unit protokol dan pengurusan acara. 

Antara program paling memberi kesan adalah Karnival Jom Masuk U dan Minggu Mesra Siswa Diploma, dia berpeluang menguruskan acara penting dan mengendalikan tetamu kehormat seperti Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam.

QASHA aktif dalam bidang seni, kepimpinan dan kesukarelawanan.

“Saya belajar erti ‘adhoc decisions’. Dalam protokol, segalanya boleh berubah dalam sekelip mata. 

“Di situlah kita diuji untuk tenang, profesional dan membuat keputusan tepat,” katanya sambil menyatakan hasrat besar untuk mengendalikan Minggu Mesra Pelajar (Ijazah) yang lebih mencabar pada masa akan datang. Qasha turut percaya bahawa kesenian dan kerohanian bukan dua dunia yang berbeza. 

Malah katanya, seni adalah medium dakwah yang sangat kuat jika digunakan dengan bijak.

“Saya sering menyertai program keagamaan, kuliah dan solat berjemaah. Di UniSZA, kebudayaan Islamik bukan sekadar soal pakaian, ia tentang akhlak, bahasa dan cara kita melayan orang.

“Melalui seni, khususnya nyanyian nasyid dan lagu-lagu berunsur keagamaan, saya menjadikan pentas sebagai ruang menyampaikan mesej positif dan spiritual,” tuturnya.

Ditanya tentang idola, tanpa ragu Qasha menyebut nama Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi utama dalam kehidupan.

Dalam seni, beliau menjadikan Datuk Awie dan Akim Ahmad sebagai figura rujukan, dua penyanyi berkarisma dan bersuara luar biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN