fbpx
MOHD. KAMIL (kanan) dan isteri, Siti Hajar mengolah barangan terpakai menjadi hiasan menarik di Gopeng.

Belanja RM1,500 beli Jalur Gemilang setiap kali merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOPENG – Pasangan suami isteri, Mohd. Kamil Hindin, 64, dan Siti Hajar Abdul Fatah, 53, ‘berhabis’ ribuan ringgit menghias warung dan kediaman mereka dengan ratusan Jalur Gemilang pelbagai saiz, 14 bendera negeri dan dekorasi lain sempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Mereka juga bijak mengolah barangan terpakai seperti bekas telur, dulang, tayar, basikal, besi, botol, kayu, tempurung kelapa, beras, ranting dan kayu untuk dijadikan hiasan menarik bermotifkan kemerdekaan negara.

Menurut Mohd. Kamil, pe­ngalaman bekerja di bahagian pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Perak selama 27 tahun membolehkannya meng­hias rumah dan warung dengan kreativiti dan cara berbeza da­ripada orang lain.

“Saya pernah bertugas di empat sekolah berbeza, selain terlibat sama dalam jawatankuasa sambutan kemerdekaan.

“Murid-murid tanpa me­ngira kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli memang kreatif dalam bidang dekorasi dan hiasan bertemakan kemerdekaan.

“Ada yang saya pelajari daripada mereka bagi memberikan sentuhan yang menarik perhatian ramai,” katanya ketika ditemui di Kampung Chulek di sini baru-baru ini.

Katanya, minat itu dite­ruskan sebaik bersara empat tahun lalu dengan menjadikan warung dan kediamannya sebagai tempat untuk ‘berkarya’ dengan cara tersendiri.

“Selepas bersara, saya tidak boleh duduk diam. Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, saya membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli ben­dera termasuk mengolah barangan terpakai dan berasaskan alam semula jadi.

“Bekas telur ayam, dulang, tayar, basikal, besi, botol, kayu, tempurung kelapa, beras, ran­ting dan kayu yang terdapat di sekeliling rumah akan ditukar menjadi dekorasi menarik bertemakan kemerdekaan negara,” katanya.

Ujarnya, barangan terpakai dan berasaskan alam semulajadi lebih murah serta ada yang diperoleh secara percuma.

Ini menjadikan perbelanjaan untuk menghias kediaman tidak begitu tinggi dan menjimatkan.

“Keunikan tersendiri warung selepas dihias menyebabkan tempat ini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berswafoto kenangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN