PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim mencabar barisan atlet tempatan dengan memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bermula esok hingga 31 Ogos ini.
Bukan itu sahaja, saingan di bumi Perlis tersebut juga merupakan peluang terakhir buat atlet-atlet kebangsaan cuba melayakkan diri dengna menyambar tiket kategori A ke temasya Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung hujung tahun ini.
Bagi Karim, kehadiran atlet-atlet antarabangsa dari 11 negara yang mengambil bahagian mampu ‘membantu’ mereka memberikan prestasi terbaik pada kejohanan berprestij kebangsaan itu.
“11 negara mengambil bahagian untuk memberi saingan kepada atlet-atlet tempatan dengan 700 jumlah keseluruhan bertanding nanti.
“Jadi ini adalah satu tapak untuk uji atlet-atlet tempatan dan berikan saingan kepada atlet dari luar negara. Ini juga peluang untuk mereka melayakkan diri ke Sukan SEA.
“Saya juga berharap atlet bertanding nanti boleh pecahkan rekod (kejohanan dan kebangsaan) seperti mana beberapa atlet telah lakukan sejak kebelakangan tahun ini,” katanya.
Sebagai rekod, 11 negara jemputan itu seperti Algeria, China, Nepal, Singapura, Thailand, Sri Lanka, Afrika Selatan, Arab Saudi, Filipina dan Korea Selatan.
Antara atlet berprofil tinggi kebangsaan yang akan mengambil bahagian pada Terbuka Malaysia nanti seperti pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman dan Andre Anura Anuar yang berjaya meraih pingat gangsa Silk Road to Tokyo di Uzbekistan baru-baru ini.
Beberapa atlet muda juga dijangka turun merancakkan kejohanan seperti Aiman Ikhwan Yahya yang kini merupakan pelari 100m ketiga terpantas negara di belakang pelari terpantas Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee. – KOSMO! ONLINE