KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini dimaklumkan, hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun 2025 sebanyak RM1.304 trilion atau 63.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan berbanding RM1.248 trilion pada akhir tahun lalu itu untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE)
Menurut beliau, jumlah liabiliti Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Mac 2025 pula sebanyak RM384.6 bilion meliputi komitmen jaminan RM238.8 bilion dan liabiliti lain RM145.8 bilion.
“Pinjaman baharu bagaimanapun telah berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada 2024.
“Pelaksanaan reformasi fiskal kerajaan telah membuahkan hasil dengan penurunan kadar defisit secara beransur-ansur daripada 5.5 peratus (2022) kepada 5.0 peratus (2023), dan seterusnya 4.1 peratus pada tahun 2024,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang meminta Menteri Kewangan menjelaskan tentang hutang kerajaan ketika ini.
Dalam pada itu, Amir berkata, kerajaan melaksanakan usaha berterusan bagi meringankan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan dengan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan yang komprehensif.
Menurut beliau, ia termasuk meningkatkan peruntukan kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, Jualan Rahmah turut diperhebat bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan yang akan memanfaatkan semua golongan termasuk golongan M40. – KOSMO! ONLINE