fbpx
SULTAN Hassanal Bolkiah dan Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran MoU berkaitan sektor kesihatan yang diwakili Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mohammad Isham Jaafar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Malaysia–Brunei percepat penyelesaian isu sempadan darat Sektor F-G menjelang 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Malaysia dan Brunei sepakat mempercepat penyelesaian sempadan darat termasuk isu berlarutan di Sektor F-G, dengan komitmen jelas untuk menyiapkan kerja pengukuran serta penandaan menjelang 31 Mei 2027.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Rundingan Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC) di Putrajaya, yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Sektor F–G adalah kawasan sempadan Malaysia–Brunei yang masih belum diselesaikan, terletak di bahagian darat Sarawak–Brunei, dan kini menjadi fokus utama rundingan kerana masih belum ada kemajuan ketara berbanding sektor lain.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin turut memberi perhatian khusus kepada isu berkaitan Sektor F-G yang masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

“Sehubungan itu, mereka memberi panduan kepada Jawatankuasa Sempadan Darat Bersama supaya mempercepatkan proses penyelesaian dengan mengambil pendekatan konstruktif berhubung Pertukaran Nota 2024 (EON 2024) yang ditandatangani pada Ogos tahun lalu,” katanya hari ini.

Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan Pertukaran Surat 2009 (EOL 2009) yang disifatkan sebagai perjanjian penting dalam memperkukuh kerjasama strategik dua hala.

Dalam hal ini, mereka mengambil maklum mengenai Mesyuarat ke-26 Malaysia–Brunei mengenai pelaksanaan EOL yang diadakan pada 23 Julai lalu di Kuala Lumpur, sambil menegaskan keperluan membina momentum, meningkatkan persefahaman dan memperkukuh kerjasama bagi mempertingkatkan hubungan dua hala.

Dalam soal penandaan dan ukur sempadan darat pula, kedua-dua pihak menegaskan kembali komitmen terhadap EOL 2009, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Proses Penandaan dan Ukur Bersama Sempadan Darat yang ditandatangani pada Mac 2012 serta Terma Rujukan yang dilampirkan.

“Dokumen-dokumen itu menetapkan bahawa mana-mana sempadan darat yang belum ditentukan atau ditanda akan diselesaikan berdasarkan lima perjanjian sempadan darat sedia ada.

“Bagi kawasan tanpa perjanjian, rundingan akan diadakan semata-mata berasaskan prinsip tadahan air (watershed principle),” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen EON 2024 mengenai kemajuan bersama di Sektor F-G yang ditandatangani semasa ALC ke-25 di Bandar Seri Begawan pada 26 Ogos 2024.

Mereka juga mengambil maklum hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Brunei-Malaysia mengenai Sektor F-G pada 8 Mei 2025 serta Mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Sempadan Darat Brunei–Malaysia pada 14 Julai 2025 di Bandar Seri Begawan.

Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin menegaskan penyelesaian Sektor F-G mesti berasaskan sepenuhnya kepada prinsip tadahan air, selain mengulangi komitmen untuk menentukan satu garisan tadahan tunggal di Sektor F-G dan melengkapkan proses penandaan serta ukur selewat-lewatnya pada 31 Mei 2027, selaras dengan EON 2024.

“Setakat ini, Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi Penandaan dan Ukur Sempadan Darat Brunei–Malaysia berjaya menandakan serta mengukur 214.638 kilometer atau 41 peratus sempadan darat sejak proses itu bermula pada 2012.

Mengambil kira kepentingan mengekalkan momentum, kedua-dua pemimpin turut menegaskan jadual penyiapan penandaan dan ukur di Sektor E-F menjelang 2025, Sektor A-B menjelang 2026 dan Sektor F-G menjelang 2027 seperti digariskan dalam EON 2024.

Sehubungan itu, Malaysia dan Brunei bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan MoU Fasa Kedua Penandaan dan Ukur Bersama sehingga mencapai 66 peratus sempadan darat menjelang 2028.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran MoU berkaitan sektor kesihatan yang diwakili Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar di Kompleks Seri Perdana, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN