fbpx
Gambar hiasan

USJT Bukit Aman ambil alih siasatan kes kematian pelatih Palapes UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen penuh untuk mematuhi perintah mahkamah berhubung penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang meninggal dunia bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, bagi tujuan tindakan penyelarasan, siasatan akan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman berkuat kuasa semalam.

“PDRM memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘rule of law’ bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Syamsul Haris yang merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu.

Allahyarham dikatakan maut selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih, Selangor pada 29 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pelatih itu mendedahkan tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden tersebut.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon supaya kubur anaknya digali semula bagi bedah siasat kali kedua.

Dalam permohonannya, wanita itu memohon perintah mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam masa 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran pakar forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh tertentu dan salinan diserahkan kepada peguamnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI