PETALING JAYA – Sebanyak tujuh buah negeri diberikan amaran ribut petir oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) susulan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan melibatkan beberapa daerah di negeri-negeri tersebut sehingga pukul 9 malam nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Terengganu melibatkan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Sementara di Pahang, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Pekan,” katanya.
Selain itu, MetMalaysia berkata, amaran sama juga dikeluarkan di Negeri Sembilan iaitu di Port Dickson dan Rembau.
“Amaran ribut petir juga dikeluarkan di seluruh negeri Melaka manakala di Johor kawasan yang terlibat ialah di Mersing.
“Bagi negeri Sarawak, cuaca buruk juga dijangka berlaku di Kapit (Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu (Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang,” katanya.
Sementara itu di Sabah, amaran sama juga dikeluarkan bagi kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Nabawan). – KOSMO! ONLINE