KANGAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan kerja baik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis yang rosak akibat ribut semalam akan dimulakan segera dengan kos bernilai RM370,000.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan penuh kerosakan telah diterima melibatkan bahagian bumbung beberapa bangunan yang menempatkan bilik darjah, kemudahan lain serta sistem pendawaian elektrik.
“Kerja-kerja pembersihan sedang berjalan dan dijangka selesai selewat-lewatnya esok bergantung kepada keadaan cuaca.
“Saya beri jaminan kerja baik pulih bernilai RM370,000 akan dimulakan segera demi manfaat murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, KPM amat menitikberatkan aspek keselamatan pelajar dan guru, justeru pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terus dilaksanakan sementara menunggu proses baik pulih selesai.
Katanya, kementerian komited memastikan murid di SK Seri Perlis tidak ketinggalan dalam pembelajaran walaupun berdepan ujian bencana alam itu.
Semalam, kira-kira pukul 5 petang, ribut kencang menerbangkan sebahagian besar bumbung bangunan lama sekolah berkenaan sejauh lebih 30 meter sehingga ke pagar sekolah.
Insiden itu menjejaskan kelas Tahun Satu, Tahun Dua, Program Pendidikan Khas Integrasi serta prasekolah membabitkan hampir 200 murid.
Pasukan bomba dan pihak sekolah mengesahkan tiada murid atau guru cedera dalam kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE