fbpx
Lukanisman (dua dari kiri) meninjau Hospital Parit Buntar di Bagan Serai hari ini. - Foto WAT KAMAL ABAS/KOSMO!

Hospital Parit Buntar siap dibina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN SERAI – Hospital Parit Buntar bernilai RM173.3 juta yang mula dibangunkan pada 2018 kini siap sepenuhnya dan bakal memberi manfaat kepada lebih 73,000 penduduk di daerah ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Subuki berkata, hospital baharu itu dilengkapi enam blok bangunan setinggi tiga tingkat dengan kapasiti 76 katil, dua dewan bedah serta pelbagai perkhidmatan pakar termasuk perubatan, pediatrik, ortopedik serta obstetrik dan ginekologi.

Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran termasuk keadaan tanah bendang yang memerlukan kerja awalan intensif serta penangguhan akibat pandemik COVID-19, projek berkenaan berjaya disiapkan hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mempunyai perancangan jangka panjang memperluaskan fasiliti hospital itu pada masa hadapan.

“Hospital Parit Buntar ini dibina di atas kawasan seluas 13 hektar, dengan sebahagian besar tanah masih belum dimanfaatkan. Melihat kepada pertambahan penduduk dan keperluan kesihatan yang semakin meningkat, kita sudah tentu mempertimbangkan untuk membangunkan blok klinikal tambahan.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan beban dan kesesakan di hospital sekitar termasuk Hospital Taiping,” katanya selepas Majlis Penyerahan Hospital Parit Buntar di Bagan Serai di sini hari ini.

Selain daripada aspek rawatan, Lukanisman menegaskan pihak kementerian turut memberi penekanan kepada usaha pencegahan penyakit melalui pelaksanaan program saringan awal dan kempen kesihatan selaras dengan hala tuju Kertas Putih Kesihatan.

Dalam pada itu, Lukanisman menjelaskan kelewatan beberapa projek kesihatan di negara ini berpunca daripada faktor teknikal termasuk isu tanah, kapasiti kontraktor serta kenaikan kos bahan mentah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI