PETALING JAYA – Kumpulan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) merekodkan pendapatan insurans sebanyak RM1.52 bilion untuk suku kedua tahun 2025, meningkat sebanyak 10.9 peratus daripada RM1.37 bilion yang
dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas menerusi pendapatan insurans yang meningkat menerusi kedua-dua segmen insurans am dan insurans hayat.
Sehingga tahun ini, pendapatan insurans Kumpulan adalah sebanyak RM3.05 bilion naik 12.6 peratus lebih tinggi daripada tempoh kewangan sebelum ini yang berakhir pada 30 Jun 2024.
Jumlah Premium Bertulis Kasar (GWP) meningkat kepada RM3.91 bilion untuk tempoh yang berakhir pada 30 Jun 2025 daripada RM3.61 bilion setahun yang lalu.
Jumlah Aset Kumpulan pada 30 Jun 2025 adalah sebanyak RM29.47 bilion berbanding RM28.49 bilion pada 31 Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, pihaknya berbangga dengan prestasi yang dicatat pada suku tahun ini, yang mencerminkan dedikasi dan tumpuan strategik kedua-dua anak syarikat insurans hayat dan am.
“Menjelang separuh kedua tahun 2025, kami tetap komited untuk bekerja keras bagi mengekalkan pertumbuhan ini dan terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
“Usaha berterusan kami untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dalam persekitaran pasaran yang dinamik sambil terus
memberikan perkhidmatan terbaik akan menjadi kunci kejayaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Untuk enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2025, GWP segmen insurans am adalah RM1.88 bilion, menunjukkan peningkatan 11.3 peratus daripada RM1.69 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Untung Sebelum Cukai (PBT) adalah RM314 juta sehingga kini, meningkat 26.4 peratus dari RM248.5 juta yang
direkodkan dalam tahun sebelumnya. -KOSMO! ONLINE