fbpx
Mohd Jazri (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama Cef Moh Johari serta barisan pelajar yang terpilih mengikuti program Chef Muda Mahsuri di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID KOSMO!

10 pelajar terpilih ikuti program Chef Muda Mahsuri 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 10 pelajar daripada golongan belia yang kurang berkemampuan terpilih bagi mengikuti Program Chef Muda Mahsuri siri ketiga 2025 selama empat bulan bermula September depan.

Pengarah Hal Ehwal Luar, Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program yang diperkenalkan sejak tahun 2023 itu komited dalam melahirkan generasi muda berbakat dalam dunia kulinari.

“Alhamdulillah, sejak permulaan kami telah menaja lima pelajar pada tahun pertama, diikuti sepuluh pelajar pada tahun 2024. Hari ini kita melangkah ke hadapan dengan menaja 10 lagi untuk tahun ketiga,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Chef Muda Mahsuri di sini, hari ini.

Menurut Mohd Jazri, program ini dijalankan hasil kerjasama Food Institute of Malaysia (FIM) dan Lembaga Zakat Selangor, dengan matlamat memperkasakan anak muda melalui pendidikan kulinari dan peluang kerjaya.

“Setelah tamat, para pelajar akan menjalani penempatan kerja selama tiga bulan di dua restoran terkemuka Chakz dan Pac and Cap, bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal serta pengalaman industri sebenar,” katanya.

Tambahnya, menerusi Program Chef Muda Mahsuri, pihaknya bukan sahaja menyediakan biasiswa, tetapi turut membimbing generasi baharu yang berbakat dalam bidang kulinari agar dapat menyumbang kepada industri makanan Malaysia pada masa akan datang.

Sementara itu, Penasihat FIM, Cef Moh Johari Edrus berkata, program ini telah menjadi satu platform bagi anak muda Malaysia yang bercita-cita untuk membina kerjaya di dapur.

“Industri F&B adalah dinamik dan terus menyediakan peluang yang besar, dan melalui inisiatif ini, kita dapat melahirkan graduan yang berkeyakinan dan bersedia untuk bekerja.

“Dengan menghubungkan pendidikan dengan pekerjaan, kita bersama-sama membina modal insan yang lebih kukuh untuk sektor kulinari negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI