fbpx
Zakaria.

Malaysia bakal jadi hab teknologi jalan, trafik ASEAN – Presiden PSKLM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang muncul sebagai hab utama teknologi jalan raya dan sistem trafik pintar di rantau ini menerusi penganjuran MY ASEAN Roads & Traffic Tech Expo 2025 (MY ARTTE 2025) yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 November depan.

Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Ir. Hj. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ekspo berkenaan bukan sekadar pameran infrastruktur biasa, sebaliknya platform penting yang menghimpunkan inovasi terkini dalam teknologi hijau, pembinaan jalan, jambatan dan terowong serta sistem trafik pintar.

“MY ARTTE 2025 adalah langkah strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat rujukan teknologi jalan raya dan trafik pintar di ASEAN,” katanya ketika sidang media Majlis Soft Launch Komvensyen Penyenggara Jalan Se-Malaysia dan
Ekspo Teknologi Jalan Raya Dan Trafik ASEAN 2025 di The Gallery, Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pengalaman luas syarikat konsesi lebuh raya tempatan akan dikongsi bagi membantu industri serantau mencapai piawaian global, selain memperkukuh kerjasama sektor awam, swasta dan akademik.

Selain MY ARTTE, Konvensyen Penyenggara Jalan SeMalaysia (MRMC 2025) juga akan berlangsung pada 3 hingga 5 November dengan pembentangan kertas kerja oleh tokoh profesional termasuk Menteri Kerja Raya, pegawai kanan kerajaan, pakar industri serta ahli akademik.

Antara isu yang akan diketengahkan pada konvensyen itu termasuk inovasi jalan raya untuk meningkatkan keselamatan, model kewangan lestari projek infrastruktur, sistem pembayaran tol digital mesra pengguna serta hala tuju pembangunan lebuh raya masa hadapan.

Zakaria menjelaskan, usaha penganjuran bersama itu mencerminkan komitmen sektor awam dan swasta dalam memajukan industri lebuh raya negara sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau.

“Kami menyahut seruan kepengerusian ASEAN dengan menjemput pemain industri dari negara-negara jiran untuk turut serta. Inilah peluang memacu inovasi, memperkasa infrastruktur hijau dan membentuk masa depan yang lebih mampan untuk Malaysia serta ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI