SEPANG – Seorang pembantu kedai pakaian didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua kesalahan membuat dan memulakan komunikasi video lucah menerusi Twitter, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Siti Amiza Baharuddin, 28, selepas wanita itu membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan ibu satu anak itu menjalani hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Ahmad Fuad menasihati Siti Amiza supaya insaf atas perbuatan dilakukan dan dijadikan sebagai pengajaran.
“Orang kena saman (OKS) melakukan komunikasi untuk tujuan komersial, namun cara kamu buat (lakukan) sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita. Jadi undang-undang dirangka sebegitu rupa supaya memelihara moral masyarakat dan jangan ada komunikasi seperti ini,” katanya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Siti Amiza secara sedar membuat dan memulakan penghantaran video lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa MCMC, Nadzirah Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A. Bakar.
Pada 24 Jun 2024, Siti Amiza dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi atas kesalahan mencari langganan bagi maksud persundalan menerusi aplikasi Telegram atas nama ‘Miza Ozawa’. – KOSMO! ONLINE