JAKARTA – Aktivis-aktivis Asia bersiap sedia belayar bersama Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu sebuah armada antarabangsa dari 44 negara untuk menuju ke Gaza melalui jalan laut bagi memecahkan sekatan makanan dan perubatan Israel, lapor laman berita Arab News kelmarin.
Mereka bergabung di bawah inisiatif Sumud Nusantara terdiri daripada aktivis Indonesia, Malaysia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan untuk menyertai gerakan flotilla global yang akan memulakan pelayaran pada 31 Ogos ini.
Sumud Nusantara merupakan sebahagian daripada GSF, sebuah armada tersusun terdiri daripada kapal-kapal kecil membawa bantuan kemanusiaan.
Armada itu akan bergerak dari pelabuhan-pelabuhan di Sepanyol menuju ke Semenanjung Gaza, diikuti konvoi lain dari Tunisia dan beberapa negara lain awal bulan depan.
Gabungan antarabangsa itu dijangka menjadi misi maritim awam terbesar yang pernah diselaraskan menuju ke Gaza.
“Gerakan ini datang pada masa yang sangat genting, kerana kita tahu keadaan di Gaza yang menghadapi kekurangan makanan, mereka bukan sahaja menderita akibat perang tetapi juga kebuluran,” kata wartawan Indonesia, Nurhadis kepada Arab News.
“Israel sedang menggunakan kebuluran sebagai senjata untuk menghapuskan rakyat Palestin di Gaza. Sebab itulah kami tetap menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Israel adalah pembunuhan beramai-ramai,” tambahnya.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 157,000 orang lagi di Gaza.
Ketika Tel Aviv terus menyekat makanan dan bantuan masuk ke Gaza, badan pemantau kebuluran global disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengisytiharkan kebuluran di Gaza pada Jumaat lalu, dengan anggaran lebih 514,000 orang kini menderita kebuluran.
Nurhadis merupakan sebahagian daripada kumpulan aktivis dari seluruh Indonesia yang menyertai GSF, bertujuan untuk memecahkan sekatan haram Israel dan menarik perhatian dunia terhadap penglibatan antarabangsa dalam menghadapi genosid berterusan terhadap rakyat Palestin.
“Kami terus mencuba melalui tindakan Global Sumud Flotilla ini, dengan harapan agar seluruh dunia, sama ada kerajaan atau rakyat dan masyarakat lain akan memberi tekanan kepada Israel untuk membuka sekatannya di Palestin,” katanya.
“Ini sudah melampaui batas kemanusiaan. Israel tidak melayan rakyat Palestin di Gaza sebagai manusia, dan dunia tidak boleh terus berdiam diri. Inilah yang kami cuba ketengahkan dengan konvoi global ini,” tambahnya.
GSF ialah gerakan yang digerakkan oleh rakyat dengan matlamat membantu menamatkan genosid di Gaza, kata Rifa Berliana Arifin, pengarah negara Indonesia bagi inisiatif Sumud Nusantara dan ahli jawatankuasa eksekutif Aqsa Working Group yang berpangkalan di Jakarta. – AGENSI