SHAH ALAM – Sebanyak 37 buah kereta dan tujuh buah motosikal hangus dalam kebakaran di sebuah bengkel kenderaan di Seksyen 24 di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, seorang pekerja bengkel berusia dalam lingkungan 30-an melecur di tangan ketika mahu mengalihkan kenderaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.31 malam dan 21 anggota serta pegawai terlibat dalam operasi pemadaman itu.

“Kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan yang hampir musnah keseluruhannya. Api turut memusnahkan 37 buah kereta dan tujuh buah motosikal yang berada dalam premis tersebut,” katanya hari ini.
Tambahnya, mangsa yang memelcur diberikan rawatan awal dan dilaporkan stabil sebelum dibawa ke hospital oleh keluarga.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.36 tengah malam dan operasi tamat dua jam kemudian. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE