LONDON – Tiada apa lagi yang mampu diminta oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta selepas penyerang utamanya, Viktor Gyokeres akhirnya sudah menemui jaring ketika membelasah Leeds United 5-0 di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Minggu lalu, Gyokeres dikritik hebat kerana prestasi hambar apabila lebih banyak berlari tanpa arah ketika menentang Manchester United, namun bangkit menutup kritikan itu dengan dua gol termasuk satu sepakan penalti dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Menariknya, bukan sahaja Gyokeres menyinar tetapi aksi itu juga menyaksikan Arsenal berjaya terus menyerlahkan seorang lagi bintang muda, Max Dowman.
Pada usia 15 tahun 234 hari, Dowman muncul pemain kedua termuda melakukan penampilan EPL bersama The Gunners selepas Ethan Nwaneri melakukannya pada usia 15 tahun 181 hari ketika menentang Brentford pada September 2022.
Walaupun masih muda, Dowman yang menyerlah sepanjang pramusim berjaya memainkan peranan penting termasuk menyumbangkan satu bantuan gol apabila memenangi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Gyokeres di penghujung perlawanan.
“Dowman ada kemampuan untuk menghadirkan sesuatu yang tidak pernah saya lihat. Semua ini tidak hanya berlaku dalam perlawanan tetapi ia juga dapat dilihat dalam sesi latihan.
“Kami mengumpulkan segala keperluan untuk membolehkannya mengatasi situasi tertentu dan saya juga perlu beri pujian kepada keluarganya. Mereka membesarkan Dowman dengan kematangan.
“Malah Per Mertesacker (jurulatih akademi) juga turut terbabit dalam perjalanan karier Dowman. Saya cukup yakin Dowman mampu menghadirkan sesuatu. Bagi kami, untuk menghadirkan kegembiraan boleh menjadikan kerja kami lebih hebat,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Tiga lagi gol Arsenal diperoleh menerusi rembatan kaki kanan Bukayo Saka dan dua jaringan Jurrien Timber hasil gerakan set-piece sepakan penjuru. – AGENSI