PARIS – Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) meneruskan kempen mempertahankan gelaran Ligue 1 musim ini dengan langkah sumbang meskipun menang 1-0 ke atas Angers di Parc des Princes awal pagi tadi.
Biarpun menguasai 80 peratus penguasaan padang dengan melakukan 21 percubaan keseluruhan, namun naib juara Piala Kelab Dunia 2025 itu hanya mampu meraih satu gol hasil jaringan Fabian Ruiz pada minit ke-50.
Pengendali PSG, Luis Enrique tetap mempertahankan anak-anak buahnya kerana menentang Angers yang bermain secara ‘parkir bas’ menyaksikan lawan itu langsung tidak memiliki percubaan tepat sepanjang 90 minit permainan.
“Kami sudah berikan segala-galanya dalam aksi ini. Saya tahu kami akan memenangi perlawanan biarpun hanya dengan satu gol,” katanya.
PSG sepatutnya mampu menang dengan lebih satu gol tetapi malangnya, Ousmane Dembele gagal menyudahkan sepakan penalti yang diraih dalam babak pertama.
Perlawanan itu seakan menjadi aksi terakhir buat penjaga golnya, Gianluigi Donnarumma yang hangat dikatakan akan meninggalkan Paris dengan berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas ini.
Donnarumma yang tidak beraksi dalam aksi itu, memasuki padang selepas tamat perlawanan untuk memberikan penghargaan kepada para penyokong setia PSG.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kedua PSG dalam kempen Ligue 1 Perancis musim ini selepas membuka kempen menewaskan Nantes 1-0 minggu lalu. – AGENSI














