KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujud campur tangan luar dalam setiap keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri.
“Saya hadir hampir setiap mesyuarat dan keputusan yang dibuat adalah muktamad dalam kalangan Jemaah Menteri sahaja. Tidak ada campur tangan daripada mana-mana pihak lain,” tegasnya ketika sesi sidang media, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan dalam Jemaah Menteri adalah berstatus rahsia dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.
“Sekiranya ada tuduhan sebegitu, laporan polis boleh dibuat dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan. Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat atau berita berkaitan,” ujarnya.
Fahmi juga mengakui belum menonton sebarang video yang sedang berlegar berkenaan dakwaan tersebut.
Jelasnya, keputusan dalam Jemaah Menteri adalah hasil perbincangan dan persetujuan kolektif tanpa pengaruh luar, sekali gus menangkis spekulasi yang berlegar. – KOSMO! ONLINE.